Bio dan Dasar Tyme LaDow

26 Julai : Mengikut pengumuman, Tyme LaDow menarik diri daripada undian.

Bio

Tyme LaDow telah dipaksa ke dalam fandom melalui rakan-rakan yang berniat baik pada usia 12 tahun. Pada mulanya, beliau tidak dapat memahami mengapakah ada orang yang berkeinginan untuk meneroka cerita di luar kanon pilihannya dalam dunia-dunia kegemarannya, namun hanya beberapa bulan selepas itu, beliau telah mula menulis karya ceritanya sendiri dan sering memeriksa untuk penerbitan karya baharu setiap hari. Penerbitan karyanya ke Fanfiction.net dan penerimaan maklum balas daripada rakan-rakannya, mahupun orang yang tidak dikenalinya, telah menjelaskan konsep tersebut kepadanya, lalu beliau telah leka dalam fandom dengan mendalam tanpa sebarang kekesalan. Semangatnya terhadap fandom yang baru terbentuk ini telah mengikutnya menerusi pelbagai platform dan fandom, dan pada akhirnya telah membawa beliau ke arah penemuan Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita) pada tahun 2011 melalui jemputan oleh teman wanitanya pada masa itu. Sepanjang tahun yang mendatang, beliau lebih aktif sebagai pembaca karya berbanding dengan penulis karya, namun begitu beliau masih gemar menulis karya fiksyen sehubungan dengan segala-gala perbuatannya yang lain dalam fandom. Pada tahun 2014, beliau sedang melayari laman OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) dan berasa kagum dengan betapa banyaknya jenis bahasa yang telah digunakan untuk menterjemah halaman-halaman tersebut, apabila beliau terserempak dengan halaman pengrekrutan sukarelawan, yang secara kebetulannya sedang mengrekrut untuk Jawatankuasa Penyelarasan Tag. Dengan keterujaan kerana terdapat peluang untuk membantu laman web kegemarannya, beliau telah membuat permohonan dan permohonannya diterima dengan agak pantas. Sepanjang tahun-tahun yang lepas, beliau turut telah menyertai pasukan Polisi dan Aduan dan telah mengenali ramai rakan baharu melalui perkhidmatannya yang berterusan kepada AO3. Tyme mempunyai beberapa tahun pengalaman dalam tugasnya yang rumit iaitu pengurusan kerja sukarela, pekerjaannya dan pelanjutan pelajarannya di universiti. Sejak penerokaannya ke dalam fandom, beliau kekal setia dengan para peminat, fandom, dan OTW.

Dasar

1. Apakah sebab anda membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya untuk menyertai Lembaga Pengarah?

Apabila saya mendapat tahu yang pilihan raya untuk Lembaga Pengarah bakal diadakan, berita tersebut tiba pada masa yang sesuai dalam hidup saya. Baru-baru ini saya telah mengurangkan tanggungjawab yang ada dan saya ada lebih banyak masa lapang untuk mengusahakan minat saya yang sebenar dalam kehidupan saya, iaitu fandom. Setakat ini saya telah bersukarela untuk AO3 selama lebih kurang 5 tahun, dan saya mencintai kesemuanya yang diwakili oleh OTW. Semakin banyak saya berbakti kepada OTW, semakin banyak saya menjumpai perkara yang saya cintai.

Tiada sesiapa yang boleh benar-benar kata yang mereka telah bersedia untuk langkah yang sebesar berkhidmat untuk Lembaga Pengarah, tetapi saya memang berasa yakin yang saya mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang dapat banyak menyumbang kepadanya. Sekiranya saya dilantik saya akan membuat segalanya yang saya mampu untuk berkhidmat kepada komuniti ini dan mewakili OTW dengan sebaik mungkin.

2. Apakah kemahiran dan/atau pengalaman yang dapat anda sumbangkan kepada Lembaga Pengarah?

Saya mempunyai latar belakang yang agak luas yang dapat membantu dalam pelbagai situasi sekiranya saya dilantik. Saya ialah pengguna AO3 yang aktif sejak tahun 2011, dan telah bersukarela sebagai seorang Penyelaras Tag sejak tahun 2014. Keadaan ini menimbulkan peluang untuk mengetengahkan pemahaman yang merangkumi pelbagai aspek melalui tanggapan seorang pengguna mahupun seorang sukarelawan. Sebagai seseorang yang telah berada dalam fandom sebelum menyertai AO3, saya memegang pemahaman yang baik mengenai sejarah sebelum adanya AO3, dan situasi-situasi yang membawa kepada penubuhannya.

Saya mula bersukarela dengan jawatankuasa Polisi dan Aduan pada tahun 2018. Pengalaman tersebut telah memberi saya keselesaan dalam menyelesaikan perselisihan faham dan menangani situasi serius secara profesional dan tenang. Saya juga tiada masalah dengan bekerja dalam suasana berasaskan kerjasama yang tinggi.

Di luar OTW, saya juga mempunyai pengalaman dengan pertubuhan bukan untung dengan membantu ibu saya dalam sebuah kelab sejarah tempatan apabila saya membesar. Saya sangat handal dalam melaksanakan apa juga tanggungjawab yang diperlukan pada bila-bila masa dan membuat susulan dengan pihak lain sehingga jalan penyelesaian dapat dijumpai untuk apa-apa jenis masalah yang mungkin timbul, sesuatu perkara yang kadangkala boleh mengambil masa apabila sesuatu aspek kehidupan harus didahulukan daripada tugas sukarela untuk sesiapa yang sepatutnya memberi jalan penyelesaian tersebut.

Akhir sekali, saya telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pengaturcaraan dan sains komputer di universiti, serta telah menyumbang kepada ujian kemas kini untuk AO3 berulang kali sepanjang tahun-tahun yang lalu. Saya berharap yang pengalaman tersebut dapat membantu saya dalam apa jua tugas kerjasama dengan para penulis perisian dan dan penyelaras sistem kami seperti yang diperlukan.

3. Pilih satu atau dua matlamat untuk OTW yang penting bagi anda dan yang anda berminat untuk mengusahakan sepanjang tempoh jawatan anda. Mengapakah anda menghargai matlamat tersebut? Bagaimanakah akan anda bekerjasama dengan pihak lain untuk mencapainya?

Saya rasa matlamat saya yang pertama adalah dalam bidang khidmat bantuan dan keterlibatan. Saya dapat melihat dan mengalami sendiri bagaimanakah fandom dapat menggalakkan pembentukan ruang dalam talian yang positif dan persahabatan yang erat. Saya juga dapat melihat bagaimanakah kesemuanya itu boleh berpecah belah berikutan peredaran masa.

Kebanyakan yang saya alami dengan OTW adalah melalui AO3, namun saya percaya yang projek-projek kami harus diberi sedikit kasih sayang. Saya ingin mencuba untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap projek-projek tersebut dan tolong untuk memperkembangkan ruangan positif yang saya telah saksikan muncul dari fandom dalam talian. Saya tidak pasti sebenar-benarnya bagaimanakah rupa perkara tersebut pada masa ini, sama ada berkenaan dengan artikel berita, ataupun acara dalam talian, mahupun apa-apa perkara lain yang saya belum pertimbangkan, namun jika saya dilantik, saya akan berhubung dengan dengan pihak lain untuk membina apa-apa idea baharu yang mereka mungkin dapat ilhamkan dan bantu melaksanakan apa-apa rancangan baharu.

Matlamat kedua yang saya anggap penting ialah mengekalkan ketelusan. Sememangnya bukanlah rahsia yang adanya segelintir orang yang tidak setuju dengan apa yang kami usahakan, namun saya rasa yang semangat sejati OTW ialah, dan akan sentiasa menjadi, sebentuk daya positif dalam fandom. Maka saya akan pastikan yang kami akan teruskan amalan ketelusan kami dan sikap berterus terang dengan apa yang kami usahakan, supaya segala kesalahfahaman boleh dielakkan.

4. Apakah pengalaman anda dengan projek-projek OTW dan bagaimanakah akan anda bekerjasama dengan jawatankuasa yang berkaitan untuk menyokong dan mengukuhkan projek-projek tersebut? Sila sertakan beberapa projek tersebut, tetapi anda juga bebas untuk memberi penekanan kepada projek-projek di mana anda mempunyai lebih pengalaman.

Sepertimana yang saya katakan sebelum ini, kebanyakan daripada pengalaman saya di OTW adalah melalui AO3 dan pelbagai jawatankuasa-jawatankuasanya. Saya turut berpengalaman dalam pengusahaan Fanlore. Saya telah bekerjasama dalam projek-projek Jawatankuasa Terjemahan, Penasihat Peguaman, dan Open Doors (Projek Pemeliharaan Bahan-Bahan digital dan Bukan Digital) kami untuk pelbagai jenis perkara sepanjang saya berada dalam Jawatankuasa Polisi dan Aduan. Saya berasa teruja dengan peluang ini untuk memperkembangkan dasar komunikasi tersebut.

Namun begitu, saya berasa yang dengan pengalaman yang saya ada ini, saya berkemampuan untuk menghasilkan dan mengekalkan saluran komunikasi antara pelbagai projek dalam OTW. Saya mencuba sedaya upaya untuk menjadi seseorang yang terbuka untuk pihak yang diselubungi apa jua masalah atau kebimbangan yang mereka ada, dan membuat yang terbaik untuk mendengar pendapat semua pihak sebelum membuat keputusan atau memberi nasihat.

5. Bagaimanakah anda mengimbangi antara kerja anda sebagai ahli Lembaga Pengarah dengan peranan anda yang lain dalam OTW, atau bagaimanakah anda merancang untuk menyerahkan peranan anda sekarang untuk memberi tumpuan kepada kerja sebagai ahli Lembaga Pengarah?

Tugas-tugas untuk peranan yang saya kini pegang amat mudah diurus. Tidak banyak yang perlu saya lakukan sehari suntuk berkenaan dengan tanggungjawab Penyelarasan Tag namun saya mampu terus mengurangkannya jika perlu.

Kerja saya dengan Jawatankuasa Polisi dan Aduan mewakili sebahagian besar beban kerja saya sebagai seorang sukarelawan namun saya boleh sahaja mengurangkan kadar penyumbangan saya seperti yang diperlukan, mengurangkan jumlah kes besar yang diambil, serta melaksanakan lebih banyak tugas sampingan dalam jawatankuasa tersebut.

Sepanjang saya menjadi sukarelawan, saya telah meletakkan seketika tanggungjawab sukarelawan saya untuk beberapa kali untuk kedua-dua peranan saya, dan saya tidak memegang sebarang jawatan penting mahupun jawatan pengerusi, jadi jika tanggungjawab saya untuk Lembaga Pengarah melibatkan beban kerja yang lebih berat daripada yang dijangkakan, peletakan seketika peranan-peranan tersebut tidak menjadi masalah supaya saya dapat memberi perhatian yang secukupnya terhadap peranan saya dalam Lembaga Pengarah.